NOVEMBER 2022

GPS Kuasa Penstabil: Premier


SELANGAU: Undi kepada GPS adalah undi ke arah mengwujudkan kestabilan di peringkat persekutuan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari Tun Openg.

Beliau berkata telah terbukti bahawa GPS kuasa yang boleh membawa kepada kestabilan politik negara apabila berlaku pergolakan kepada pentadbiran negara empat tahun kebelakangan ini.

Beliau telah berucap pada majlis perasmian Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Ya’akob pada pagi Isnin. 

Seksyen tersebut merupakan jajaran sepanjang 27 KM dari Jambatan Sg. Kua ke Jambatan Sg. Arip.

Datuk Patinggi Abang Zohari berkata Kerajaan GPS sebagai sebuah platform politik yang bebas hanya akan bekerjasama dengan kerajaan pusat yang bersedia membantu Sarawak menjadi sebuah wilayah yang maju menjelang 2030.

Kerajaan yang telah memerintah selama 22 bulan sebelum ini telah menindas Sarawak sehingga menyebabkan kelewatan siapnya Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, kata beliau yang merujuk kepada kerajaan PH. 

“Lebuhraya Pan Borneo sepatutnya sudah siap jika tidak kerana Kerajaan PH,” ujar beliau.

Merujuk kepada mantan Ahli Parlimen P214 Selangau yang telah mewakili PH Datuk Patinggi Abang Zohari berkata beliau telah “melarikan diri” ke kawasan lain setelah pengundi Selangau memberikan beliau kemenangan pada PRU14.

Oleh itu, pengundi P214 Selangau pada PRU15 harus memberi kemenangan kepada calon GPS yang akan berkhidmat secara ikhlas kepada rakyat, tegas beliau.

Perdana Menteri telah menyampaikan ucapan perasmian kemudian dan terdahulu Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof turut berucap.

Sumber dari : Sarawakku